Number of People visiting this blog

Isu geran sedang diusahakan

Isu geran sedang diusahakan
15 March 2011 Sinar Harian

KEPONG – Lebih 40 tahun menanti, hasrat penduduk Taman Kepong, di sini bagi mendapatkan geran hak milik tetap semakin cerah selepas hampir empat bulan isu terbabit dibangkitkan baru-baru ini.

Sehingga kini, 475 geran di fasa satu taman sudah didaftarkan dan sedia untuk diambil, manakala 49 geran sama sedang diusahakan.

Bagi fasa dua perumahan berkenaan, 385 daripada 600 geran sudah siap didaftarkan dan dijangka dapat dilengkapkan pada Mac ini juga.

Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Taman Kepong, M U Arumugam berkata, sehingga hujung Mac ini dijangka kebanyakan pemilik rumah sepatutnya menerima notis berkaitan daripada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan untuk mengambil dokumen berkenan.

“Kita dimaklumkan kesemua 1,124 geran hak milik sementara dimiliki penduduk sebelum ini akan ditukarkan dengan geran hak milik tetap tidak lama lagi.

“Namun terdapat beberapa perkara masih menjadi kekangan kerana isu geran Taman Kepong ini sudah berlarutan lebih empat dekad lalu, transaksi lalu yang dibuat sukar disemak semula,” katanya ketika perjumpaan penduduk berhubung isu berkaitan dengan Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, di sini.

Dalam pada itu menurutnya, terdapat sesetengah penduduk tidak menyimpan dokumen berkaitan dengan baik dan ada yang telah kehilangan Perjanjian Jual Beli Rumah (S&P) serta dokumen penukaran (Memorandum of Transfer) bagi membuktikan mereka pemilik tanah. Katanya, ini salah satu sebab badan bertindaknya menggesa penduduk untuk segera mengambil geran mereka sebaik selepas ia berjaya diproses.

“Kita dapati kebanyakan rumah dibangunkan oleh pemaju sama, penukaran hak milik tidak dilakukan sebaiknya.

“Pejabat Tanah mahu membantu penukaran tanah ini, tetapi pemilik perlu menjelaskan duti setem. Tanpa pindah milik mengikut prosedur sepatutnya, pemilikan hartanah ini sukar dilakukan dan kita tidak mahu ia berlaku,” katanya.

Sementara itu, Seng Giaw berkata, beliau juga berdepan masalah sama membabitkan penduduk di Kepong Baru dan Jinjang.

Beliau menyifatkan, isu berkaitan tanah sangat penting kepada penduduk dan sepatutnya diselesaikan sebaiknya seberapa segera.

“Lebih lama isu tanah ini tertangguh, ia akan menjadi lebih rumit. Bagi kes di Taman Kepong ini, mereka lebih bernasib baik kerana pemaju sudah membuat kerja ukur tanah bagi dua fasa ini," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, banyak projek perumahan seluruh negara berdepan isu hampir sama kerana terdapat ruang bagi membenarkan pemaju untuk lari daripada tanggungjawab.

Katanya, untuk itu beliau akan membawa isu ini ke Parlimen, bagi menggesa kerajaan bersama memikirkan mekanisme lebih efektif memantau pemaju bagi memastikan mereka memenuhi syarat pembangunan dalam jangka masa tetap ditentukan.
Check out the latest video on http://www.mediarakyat.net. Also read http://malaysianwatchdog.blogspot.com
and watch latest news in Selangor http://live.tvsnews.net/