Number of People visiting this blog

Letter in Response to MP of Kepong, YB Dr Tan Seng Giaw's official enquiry to FT Land and Mines Office

  • Dr Tan Seng Giaw
  • Ahli Parlimen Kepong
  • 3747 Garden Street
  • Pekan Jinjang Utara
  • 52000 Kuala Lumpur
  • senggiaw@gmail.com


3.1.2011

Pengarah

Jabatan Tanah dan Galian

Wilayah Persekutuan

UP: Encik Latif Bin Ali

Timbalan Pengarah

Tuan

Masalah geran di Taman Kepong

Terima kasih kerana sudi berjumpa dengan kami pada 27.12.2010 mengenai perkara tersebut. Tuan hanya mewarisi hal ini yang berlaku kira-kira 40 tahun yang lampau. Sekembalinya ke Taman Kepong, wakil-wakil penduduk mengumpulkan soalan-soalan seperti berikut:

1) Penduduk meminta penjelasan apa yang dimaksudkan Fasa Satu dan Fasa Dua di Taman Kepong dan meminta semoga Tuan dapat memberi butir-butir yang diperlukan seperti nama jalan-jalan yang berada di Fasa Satu dan Fasa Dua. Ini kerana ramai penduduk masih belum tahu samada rumah mereka berada dalam Fasa Satu atau Dua.


2) Apakah proses yang diperlukan untuk penukaran Hakmilik Sementara (Qualified Title) kepada Hakmilik Kekal (Final Title), dan agak berapa lama jangkamasa yang diperlukan oleh pihak Pejabat Tanah & Galian Wilayah Persekutuan untuk pengeluaran Hakmilik Kekal Fasa Satu dan Fasa Dua?


3) Tolong beri butiran 48 unit yang failnya sudah berada di Jabatan pihak tuan. Tuanpunya Rumah di Taman Kepong ingin mengetahui alamat rumah yang termasuk jalan 48 unit ini dan bilakah 48 unit ini akan mendapat dokumen hak-milik kekal mereka?

4) Tolong beri butiran 100 unit yang failnya baru diperolehi dari JUPEN. Bilakah tuan punya unit ini akan mendapat dokumen hak milik kekal mereka?
5) Tolong nasihati kami akan status baki 376 unit dari fasa 1. Tolong bagi anggaran jankamasa yang diperlukan untuk menyelesaikan isu status unit-unit ini.

6) Bagaimanakah status untuk 600 unit di fasa 2. Tolong bagi anggaran jangkamasa yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah penukaran dokumen hak milik di kawasan Fasa 2.

7) Kami bersependapat bahawa setiap bayaran berkaitan pembelian rumah dan borang pemilikan telah dilakukan semasa proses pembelian rumah kami. Ini bermakna tiada lagi sebarang bayaran yang harus dibuat dalam proses pembetulan dokumen hak-milik rumah kami. Kami percaya bahawa pihak tuan bersependapat dan bersetuju dengan kami dalam hal ini.

Saya berharap tuan dapat memberi bantuan.

Sekian, terima kasih.

Yang ikhlas

Tan Seng Giaw

________________________________________________________


Y.B. AP Kepong/ Tuan,

Merujuk kepada emel YB Dr bertarikh 3 Januari 2011, penjelasan saya adalah seperti berikut;

Jawapan soalan 1)

Fasa 1 mengandungi 524 lot tanah di mana Pelan Akui (PA) daripada Jabatan Ukur (JUPEM) telah dikeluarkan tetapi maklumat keluasan tanah masih dalam ukuran kaki persegi. Pelan PA tersebut sedang dibuat kordinasi penukaran keluasan daripada kaki persegi kepada meter persegi bagi disesuaikan dengan pengiraan kadar cukai tanah yang menggunakan ukuran dalam meter persegi.

Fasa 2 pula mengandungi 600 lot tanah dan proses pengeluaran Pelan Akui masih dalam tindakan JUPEM

Maklumat lanjut mengenai fasa 1 dan fasa 2 akan diberikan kemudian. Walau bagaimanapun saya menyeru kepada para penduduk Taman Kepong supaya tidak fikirkan sangat mereka dari fasa mana kerana pihak jabatan ini dan JUPEM sedang berusaha mempercepatkan pengeluaran Final Title (FT) bagi semua pemilik tanah yang terlibat. Pemilikan Hakmilik QT telah dipegang selama lebih 30 tahun tanpa ada sebarang masalah dan mereka tidak perlu bimbang apa-apa untuk terus pegang Hakmilik QT berkenaan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Jawapan soalan 2)

Proses untuk penukaran QT kepada FT (melibatkan 2 jabatan kerajaan)

a. Pemilik/ pemaju mengemukakan permohonan di kaunter Aras 3, Pejabat PTG (Rumah Persekutuan)

b. Pejabat PTG hantar permohonan kepada JUPEM dengan menyediakan pelan Permintaan Ukur (PU) untuk dikeluarkan PA dan pelan Hakmilik FT

c. Pejabat JUPEM proses ukur halus dan keluarkan perakuan PA. Selepas disahkan oleh JUPEM, pelan PA dan pelan FT akan dihantar ke pejabat PTG.

d. Pejabat PTG terima dan kemaskini rekod pelan.

e. Jika keluasan tanah dalam FT bertambah melebihi 10% berbanding keluasan dalam QT, bayaran premium tambahan ke atas perbezaan luas Hakmilik tersebut akan dikenakan setelah diputuskan oleh JK Kerja Tanah WPKL.

f. Pejabat PTG proses daftar FT dan keluarkan notis meminta pemilik tanah hadir untuk serah Hakmilik QT dan ambil Hakmilik FT. Selesai.

Nota

· Permohonan FT boleh juga dibuat dengan melantik Juru Ukur Berlesen tanpa melalui pejabat PTG. Juru Ukur Berlesen yang dilantik akan menjalankan kerja ukur halus serta urusan pengeluaran PA dengan JUPEM.

· Taman Kepong dibangun sebelum tahun 1970 dan pada masa itu belum wujud undang-undang mengenai Juru Ukur Berlesen dan kewajipan mereka untuk mengemukakan permohonan Hakmilik FT

· Tempoh proses pengeluaran Hakmilik FT di pejabat PTG bagi 1,124 bilangan Hakmilik boleh dibuat dalam 1 bulan. Saya tidak dapat berikan maklumat mengenai tempoh masa yang diambil untuk penukaran unit ukuran luas pada pelan PA oleh JUPEM.

Jawapan soalan 3)

Untuk makluman YB, sejumlah 48 lot yang dahulunya dilaporkan telah diselaraskan ukuran luas kepada meter persegi sebenarnya ada 47 sahaja. Kesemuanya telah didaftar FT dan pemilik akan dimaklumkan melalui notis supaya hadir ke pejabat ini untuk menukar Hakmilik QT mereka kepada FT.

Butiran pemilikan bagi 47 lot yang telah didaftarkan FT tidak dapat diberi kepada pihak lain begitu sahaja kerana ianya melibatkan carian yang akan dikenakan bayaran. Namun demikian maklumat nama pemilik yang berkenaan akan diberikan kemudian.

Jawapan soalan 4)

Sebenarnya pejabat PTG baru terima batch ke 2 daripada JUPEM sebanyak 200 Hakmilik yang telah ditukar unit ukuran. Proses kemaskini rekod teknikal sedang dibuat dan dijangka boleh didaftar pada minggu hadapan.

Jawapan soalan 5)

Baki 277 Hakmilik dari fasa 1 masih belum diserah kepada pejabat PTG dan tempoh masa proses tidak boleh anggarkan kerana proses kerja di JUPEM di luar kawalan jabatan ini.

Jawapan soalan 6)

Status bagi 600 hakmilik fasa 2 masih dalam tindakan pihak JUPEM. Mesyuarat penyelarasan yang pertama antara pejabat PTG dan JUPEM telah diadakan pada 8 Disember 2010. Mesyuarat susulan akan diatur pada akhir bulan ini untuk bincang kemajuan proses dan atasi masalah berbangkit.

Jawapan soalan 7)

Tiada bayaran dikenakan bagi penukaran daripada Hakmilik QT kepada Hakmilik FT. Namun demikian jika luas tanah dalam FT berbeza dengan QT maka kadar cukai tanah akan berubah sedikit mengikut keluasan yang baru. Jika berlaku pertambahan luas tanah dalam Hakmilik FT dengan perbezaan melebihi 10% maka premium atas perbezaan luas tanah tersebut akan dikenakan dengan jumlah yang ditentukan oleh JK Kerja Tanah mengikut Kaedah-Kaedah Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sekian, harap maklum.

LATIF ALI

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian

Wilayah Persekutuan




Check out the latest video on http://www.mediarakyat.net. Also read http://malaysianwatchdog.blogspot.com
and watch latest news in Selangor http://live.tvsnews.net/